sinar perubahan

"Apa tujuan kita menutup aurat, Ustazah?" Pertanyaanku secara tiba-tiba itu memecah sepi yang sebelum ini menyelubungi Kelas Tiga Abi Daud.

Ternyata soalan 'cepumas' itu berjaya menarik perhatian rakan-rakan sekelasku yang sebelum ini pasif mendengar penjelasan Ustazah Ruqayyah tentang kepentingan menutup aurat.

Masing-masing cuba memberi pendapat mereka. Ustazah Ruqayyah cuba menenangkan suasana kelas yang tiba-tiba riuh itu sambil melemparkan pandangan keluar.

Pagi tadi, dia ada terdengar kemungkinan ada pemantau daripada Jabatan Pelajaran Johor akan ke sekolah ini. Takut juga dia kalau-kalau pemantau itu sudah tiba dan sedang melawat kelas-kelas di sekolah ini. Kelas yang bising ini pastinya akan meninggalkan imej yang kurang baik kepada pemantau tersebut.

"Tolong diam semua!" Ustazah Ruqayyah meninggikan sedikit suaranya. Para pelajar kembali menumpukan perhatian. Masing-masing kelihatan tidak sabar ingin mendengar jawapan yang akan keluar daripada mulut ustazah yang mereka hormati ini.

Ustazah Ruqayyah menerangkan kepada kelasnya tujuan umat Islam menutup aurat setelah suasana kelas mula terkawal. "Tujuan utama kita menutup aurat sudah tentulah untuk memenuhi tuntutan sebagai seorang Muslim. Oleh itu, kita wajib melaksanakannya." Begitulah bunyi jawapan yang keluar daripada mulut ustazah.

"Bukankah tiada paksaan dalam agama, Ustazah?" Aku melontarkan lagi persoalan yang bermain di benakku. Ustazah kelihatan berfikir sejenak. Mungkin berfikir cara terbaik untuk menjawab soalanku. "Baiklah pelajar semua." Ustazah berhenti seketika, cuba memancing tumpuanku dan rakan-rakan sekelasku.

"Konsep tiada paksaan dalam agama ini cuma sesuai dalam konteks tidak memaksa orang yang masih belum menerima Islam sebagai pegangannya. Sebagai contohnya, kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam menerima Islam. Kita cuma boleh mengajak sahaja bukannya memaksa."Sambung ustazah lagi.

"Bagi orang yang sudah Islam, wajiblah ke atasnya untuk menerima ketetapan yang telah disyariatkan semampu mungkin." Ustazah Ruqayyah menghujani lebih banyak kefahaman Islam kepada muridnya. Kebanyakan rakan sekelasku menganggukkan kepala mereka tanda memahami penerangan yang diberi ustazah tapi hatiku masih sarat dengan tanda tanya.

Kemudian, ustazah meneruskan pengajarannya yang sebelum ini terhenti dengan pertanyaanku sehinggalah bunyi loceng menandakan waktu pulang berbunyi nyaring. Sebelum meninggalkan kelas, ustazah sempat berpesan supaya bertemu dengannya jika ada apa-apa masalah.

"Eh, kau nak ke mana tu Syu? Jomlah balik." Ajak Zulaikha, teman rapatku.

"Kau baliklah dulu. Cikgu Hashim suruh aku hantar buku latihan ni tadi." Balasku. Sebelum meninggalkanku, Zulaikha sempat mengingatkanku tentang rancangan kami hendak keluar ke bandar esok. Menurutnya lagi, Kamal dan Raqib akan menyertai kami. Aku menganggukkan kepalaku.

Selepas itu, aku mengatur langkahku ke bilik guru. Cikgu Hashim tiada di situ jadi aku meletakkan sahaja buku latihan yang aku bawa di atas mejanya. Saat kakiku ingin melangkah keluar, mataku terpandang Ustazah Ruqayyah yang kelihatan sedang sibuk menyemak buku pelajar di mejanya. Serta merta persoalan yang bersarang di benakku menjelma lagi. Sifat ingin tahu bertandang menguasai fikiranku lantas ku susun langkahku menuju ke mejanya.

"Assalamualaikum." Aku menghulurkan ucapan selamat. Ustazah Ruqayyah mencari pemilik suara itu sambil menyambut ucapan salamku.

"Oh, Syuhada rupanya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Tanyanya pula. Aku kehilangan kata-kata. Lidahku kaku.

"Eh, kenapa dengan aku ni, tadi bukan main semangat, sekarang..." Aku bermonolog antara hati dan perasaan.

"Ya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Ustazah mengulangi pertanyaannya.

"Em..." Aku memulakan bicaraku.

"Boleh tak Ustazah jelaskan kepada saya tentang tiada paksaan dalam agama?" Aku meneruskan kata-kataku apabila keyakinan mula mengambil alih perasaanku. Ustazah tersenyum dan bertanya.

"Syuhada, awak pemain bola jaring sekolah kan?" Tanya ustazah. Aku mengangguk kepala, sedikit kehairanan bermain di fikiranku. Mencari perkaitan antara pertanyaanku dengan soalan yang diajukan sebentar tadi.

"Maka, sudah tentu awak mematuhi peraturannya?" Sekali lagi aku mengangguk.

"Begitu jugalah dengan Islam. Apabila sudah Islam, maka wajib dipatuhi ketetapannya, sama ada suka atau tidak." Ustazah merungkaikan persoalan yang mengetuk fikiranku satu-persatu.

"Kalau awak tak main bola jaring, buat apa awak ikut peraturannya kan?" Senyuman manis menghiasi wajahnya. Aku mengiyakan kata-kata ustazah.

Hatiku berbunga riang kerana persoalan yang kerap bertandang telah dapat dirungkaikan."Terima kasih, ustazah." ucapku perlahan.

Di rumah, selepas bersolat Isya', aku termenung memikirkan kejahilanku. Kata-kata ustazah siang tadi menerjah fikiranku saban detik. Bagai musafir di gurun tandus. Meraba jalan mencari setitik air bagi mengairi tekak. Begitulah dengan diriku, dahagakan setitik ilmu untuk memanduku menjadi muslimah sejati.

Sebelum ini, aku kerap berpeleseran dengan teman-temanku jika ada kesenggangan. Menunjukkan identiti sebagai seorang yang semakin jauh dari jalan yang seharusnya dilalui sebagai seorang Islam. Untuk apa aku melakukan itu semua?

"Syuhada, mari makan." Laung ibuku lembut menyirnakan lamunanku. "Baiklah." Aku menjawab sambil menuju ke dapur.

"Ibu..." Aku memulakan bicara pada malam yang dingin itu.

"Kenapa Islam mensyariatkan umatnya menutup aurat?"

Ibu kehairanan dengan sikapku malam ini. Selalunya aku akan mencebik masam setiap kali dia cuba mengutarakan soal aurat. Namun, ibu ketepikan itu semua kerana yang penting anaknya ini sudah ingin berubah. "Em, baiklah, kalau ibu nak simpan cincin perkahwinan ibu, di mana tempat yang paling sesuai?" Tanya ibu.

"Tentulah di tempat yang paling selamat." Jawabku.

"Begitulah dengan aurat kita. Kalau kita rasa ia berharga, tentulah kita akan menjaganya daripada tatapan umum, bukan begitu? Sebaliknya, jika kita rasa aurat kita itu umpama perhiasan murahan, sudah tentu kita tidak kisah mempertontonkannya kepada orang yang asing dalam hidup kita, kan?"Ibu mencurahkan diriku dengan jawapan yang boleh kufahami dengan jelas.

"Kita kena ingat menutup aurat juga mempunyai mesej supaya kita menjaga pergaulan kita dengan lelaki ajnabi dalam kehidupan masyarakat ini." Tambah ibuku lagi.

Selepas mendengar penerangan ibu, aku berasa yang aku perlu berubah. Lantas ku hubungi Zulaikha. Kepadanya aku berkata bahawa aku tidak dapat mengikutnya esok kerana ada hal lain. Dia agak terkejut dengan keputusanku itu dan cuba memujukku namun hatiku bulat menegaskan yang wajar berkata tidak kepada ajakannya. Zulaikha akhirnya akur dengan keputusanku.

Keesokan harinya, tatkala fajar sudah terbit dari kamar peraduannya, aku sudah terjaga. Selepas solat Subuh, aku membantu ibu di dapur. Ibuku senang dengan perubahan yang aku buat ini. "Eh, hari ini kan ayah akan balik, bu." Aku tiba-tiba teringat.

"Oh, ibu terlupa." Kata ibuku sambil menepuk dahinya.

"Kalau macam tu malam ni kena masak istimewa sikit ni." Kata ibuku lagi.

"Jom, teman ibu ke pasar, Syuhada."

"Baiklah. Em, ibu ada tudung lebih?" Tanyaku spontan. Ibu agak terkejut dengan pertanyaan itu namun dia menguntum senyum sambil menganggukkan kepalanya. Akhirnya, impiannya termakbul.

- Artikel iLuvislam.com

No comments: